Karangan Semangat Kejiranan
KARANGAN BAHAGIAN A SPM (KSSM)
Rangka Karangan
Pendahuluan
• Maksud jiran
• Isu semasa berkaitan jiran
• Ayat kata kunci (2 kata kunci daripada bahan)
Isi-isi
• Kata kunci 1 + isi utama
• Isi utama: masyarakat bertegur sapa dengan jiran tetangga
• Kata kunci 2 + isi utama
•Isi utama: dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat
Penutup
• Semua pihak perlu berganding bahu - memupuk semangat kejiranan
Contoh Karangan
Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita selain daripada keluarga sendiri. Pada era globalisasi kini, terdapat banyak lakaran suram yang menyelubungi masyarakat pada zaman ini seperti amalan kehidupan berjiran dalam kalangan masyarakat pada masa kini dikatakan semakin sirna ibarat hidup segan mati tak mahu. Hal ini perlulah dibendung agar ukhuwah yang kukuh dan ampuh antara jiran tetangga dapat dibentuk bak kata peribahasa "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat". Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk memupuk semangat kejiranan serta kepentingannya?
Salah satu langkah untuk memupuk semangat kejiranan ialah masyarakat hendaklah bertegur sapa dengan jiran tetangga. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan dapat mengenal jiran secara peribadi dan seterusnya mewujudkan hubungan persahabatan yang erat dengan mereka. Contohnya, sentiasa bermanis muka apabila bersua dan bertanya khabar jiran. Jelaslah bahawa sikap sentiasa bertegur sapa dengan jiran tetangga dapat mewujudkan semangat kejiranan dalam sesebuah masyarakat.
Selain itu, kepentingan semangat kejiranan pula adalah dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat kekitaan dapat dibentuk apabila saling bekerjasama membantu antara satu sama lain dan sekali gus masyarakat yang bersatu padu dapat dilahirkan. Contohnya, saling bekerjasama membantu antara satu sama lain dalam menjayakan aktiviti gotong-royong, majlis sambutan perayaan dan sebagainya dapat mengeratkan lagi hubungan sesama jiran. Tegaslah bahawa sikap kerjasama dapat dipupuk melalui semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Kesimpulannya, semua pihak mestilah berganding bahu bagaikan aur dengan tebing untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat agar dapat mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni.
contoh format rangka karangan boleh tengok sini 》》》 https://ilmubystarrynight.blogspot.com/2022/06/rangka-ringkas-karangan-bahagian-spm.html?m=1
Comments
Post a Comment